IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO Perak yakin pertukaran Menteri Besar Perak tidak akan merubah status kerajaan negeri yang masih kekal padu berteraskan kerjasama parti-parti di dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid mengajak seluruh rakyat memberi kepercayaan dan dokongan penuh kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi mempertimbangan dengan penuh kebijaksanaan untuk memilih Menteri Besar yang baharu.

Menurutnya, Pemuda UMNO menumpahkan sepenuh taat setia dan akan sentiasa akur dengan apa jua keputusan baginda.

Katanya, keputusan undi percaya terhadap Ahmad Faizal tentunya mencetuskan polemik dan kegusaran kepada rakyat dengan pelbagai spekulasi yang tidak benar mula dibangkitkan terutamanya di media sosial.

“Hakikat yang tidak disedari isu pertukaran Menteri Besar Perak ini bukan sesuatu yang baru memandangkan ia pernah berlaku sebelum ini tanpa melibatkan sebarang proses Pilihan Raya Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Perak hari ini yang menyaksikan Menteri Besar itu gagal mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam proses pengundian yang dijalankan secara sulit itu, usul yang dibawa ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manap Hashim hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 yang tidak menyokong dan satu berkecuali.

Mohd Ariff berkata. eputusan yang dibuat itu sudah tentu mempunyai asas pertimbangan tertentu yang dilakukan oleh setiap ADUN bagi memastikan amanah rakyat negeri Perak sentiasa terpelihara.

Menurutnya, Pemuda UMNO Perak merakamkan penghargaan kepada Ahmad Faizal di atas khidmat beliau selama menjawat jawatan Menteri Besar.