IPOH: Waktu bermula solat Subuh di negeri Perak perlu ditambah lapan minit daripada waktu solat sedia ada berkuatkuasa Sabtu, 22 Jamadilawal 1441H bersamaan 18 Januari 2020.

Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah membuat keputusan bahawa hukum solat Subuh yang dilaksanakan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diqadha.

“Bagi menjunjung titah perintah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan agar waktu Subuh bagi seluruh negeri Perak menggunakan parameter 18 darjah di bawah ufuk berbanding 20 darjah di bawah ufuk sebelum ini.

“Maka berkuatkuasa Sabtu, 22 Jamadilawal 1441H bersamaan 18 Januari 2020, waktu bermula solat Subuh perlu ditambah lapan minit daripada waktu solat Subuh sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, perubahan ini hanya melibatkan waktu Subuh tanpa melibatkan waktu solat yang lain.

Rakyat negeri Perak boleh merujuk kepada laman web atau laman Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak bagi mendapatkan waktu solat Subuh terkini dan maklumat lanjut mengenai perubahan tersebut.