LENGGONG: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggunapakai peruntukan menghadapi banjir yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan bagi menangani banjir di Hulu Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya akan menilai semula keperluan untuk mengagihkan peruntukan agar dapat disalurkan mengikut keutamaan.

IMG-20171107-WA0019

Sebanyak RM1 juta daripada peruntukan kerajaan persekutuan yang disalurkan ke Tabung Bencana Negeri, telah dikhaskan sebagai sebahagian daripada peruntukan menghadapi banjir di negeri ini.

“Kerajaan (persekutuan) telah memperuntukkan satu peruntukan yang kita minta dahulu, tetapi ada juga kawasan-kawasan yang (masalah banjir) telah diselesaikan secara tidak langsung.

“Maka, wang itu dapat digunakan, dan akan diberikan perhatian kepada kawasan yang memerlukannya dengan segera.

“Contohnya, jambatan di Kota Tampan yang kini kelihatan agak rendah, dan terhakis akibat aliran air deras, apabila air sebegitu tersekat maka ianya akan melimpah di atas jalan raya, begitu juga dengan Kg Sumpitan, mungkin ketika pembinaan jambatan mereka tidak dapat meramalkan kadar atau jumlah aliran air yang bergerak,” katanya.

IMG-20171107-WA0002

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan banjir di sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian semalam, lebih 10 kampung di Lenggong dilanda banjir kilat termasuk di Malau, Sumpitan dan Kampong Geluk.

Dr Zambry dalam pada itu menasihatkan penduduk yang menetap di sekitar kuala dan tebing Sungai Perak untuk sentiasa memberikan perhatian dan berjaga-jaga.

“Sungai Perak dibentuk oleh beribu-ribu anak sungai, itu yang kita lihat pada hari ini…walaupun kawasan banjir hari ini tidak melibatkan Sungai Perak namun dengan taburan hujan yang sedang berlaku di Hulu Perak, kita ambil tindakan awal.

IMG-20171107-WA0016“Bukan saya nak memberi amaran, ianya mengejut seperti tahun-tahun lalu, inilah caranya supaya kita membuat persiapan awal, kalau ada apa-apa yang berlaku kita dapat bersiap sedia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Zambry juga menghargai semua pihak terlibat yang segera turun padang sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kesulitan penduduk berikutan bencana alam itu.

“Kita tidak menunggu kejadian banjir teruk baru kita nak buat pendekatan, di negeri Perak bilik-bilik gerakan telah dibuka, malah semua agensi penyelamat seperti Bomba, Rela dan sebagainya sentiasa berwaspada dan peka,” ujarnya.