IPOH, 17 DIS: Rakyat Perak menyambut baik peruntukan khas RM200,000 yang diberikan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari blok pembangkang.

Tinjauan oleh Suara Perak mendapati rata-rata mereka yang ditemui menyambut baik inisiatif itu yang merupakan satu sejarah baharu bagi negeri Perak.

Muhammad Zubaidi Zahiri, 23, berkata, langkah tersebut dilihat sebagai satu perubahan yang positif dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Peruntukan RM200,000 buat semua kawasan Dewan Undangan Negeri Perak dilihat sebagai inisiatif kerajaan negeri bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Perak secara menyeluruh.

“Peruntukan ini juga termasuk di kawasan DUN yang diwakili pihak pembangkang membuktikan bahawa kerajaan negeri amat mementingkan kebajikan rakyat dan memastikan rakyat tidak terbeban dengan situasi pandemik Covid 19,” katanya kepada Suara Perak.

Zubaidi yang berasal dari Batu Gajah juga berpandangan, pendekatan itu sangat efisien dalam membantu ADUN agar dapat memainkan peranan yang menyeluruh bagi membantu golongan yang memerlukan dan bertanggungjawab terhadap peruntukan yang telah diberikan.

Sementara itu, Muhammad Zulhilmie Abd Aziz, 26, berpandangan, pemberian peruntukan itu menunjukkan kematangan kerajaan negeri dalam berpolitik.

“Bagi saya, peruntukan kepada semua ADUN tanpa mengira parti ini menunjukkan keadilan kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat tanpa mengira parti.

“Hal ini melihatkan kematangan politik kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar yang baharu dan diharapkan ianya dapat diteruskan,” ujarnya.

Zulhilmie berharap, ADUN yang bertanggung jawab dapat menggunakan peruntukan tersebut dengan telus dengan menyalurkannya kepada golongan yang memerlukan.

Manakala, Ibrahim Muhammad, 35, berharap, dengan adanya peruntukan tersebut, ianya dapat membantu ADUN untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

“Jumlah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini sangat banyak dan boleh digunakan untuk banyak perkara.

“Saya berharap peruntukan ini dapat digunakan oleh ADUN dengan sebaik mungkin untuk memajukan kawasan mereka seterusnya memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.