IPOH: Peruntukan kira-kira RM2 juta akan digunakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menaiktaraf kawasan sinonim dengan tarikan pelancong di pasar Gerbang Malam.

Menurut Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Kaunselor Mazlan Abd Rahman, peruntukan sudah diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri dan akan diberikan kepada kerajaan negeri sebelum diserahkan kepada MBI selaku pengendali.

“Sudah 17 tahun gerbang malam ini beroperasi dan sudah tiba masanya kawasan kini memerlukan satu pembaharuan.

“Satu peruntukan akan digunakan bagi tujuan menaiktaraf dan menjadikan kawasan perniagaan berbumbung di Gerbang Malam ini,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan ketika berucap mewakili Datuk Bandar melancarkan program Ambang Merdeka anjuran Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam di tapak Gerbang Malam di sini pada Ahad.

Katanya, peruntukan berkenaan akan diperolehi dalam masa terdekat bagi melaksanakan projek naiktaraf itu.

“Kita akan melakukan pembaharuan pada masa akan datang, jadi (peniaga) sudah boleh memikirkan mencipta bentuk perniagaan bagi menarik pelancong datang ke gerbang malam ini.

“Saya melihat terdapat beberapa juga struktur jalan yang rosak, jadi perkara ini akan diutarakan kepada Datuk Bandar,” katanya.

Beliau berkata, pembaharuan yang bakal dilakukan di pasar itu juga selari dengan tema kemerdekaan negara ‘Malaysia Prihatin’.

“Pembaharuan Gerbang Malam ini selari dengan tema kemerdekaan Malaysia Prihatin iaitu kerajaan prihatin kepada masyarakat dalam negara ini tidak mengira agama kaum dan bangsa.

“Jadi, sebagai rakyat kita mesti menjaga dan menghayati erti kemerdekaan itu dengan penuh kesedaran untuk mencorak negara pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan negeri hanya membenarkan 60 daripada 128 peniaga menjalankan perniagaan secara bergilir setiap hari di Gerbang Malam yang menjadi antara tarikan di bandar raya ini, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata pihaknya bersetuju untuk memanjangkan tempoh operasi pasar malam di Ipoh bermula dari 4 petang sehingga 10 malam berbanding hanya sehingga 7 malam sebelum ini selepas dibenarkan dibuka semula di bawah PKPP.

Waktu perniagaan Gerbang Malam pula kekal beroperasi dari 5 petang hingga jam 12 tengah malam dalam tempoh PKPP.