IPOH, 17 DIS: Pemberian peruntukan tahunan berjumlah RM200,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak disambut baik oleh blok pembangkang.


Malah Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari (DAP – Tebing Tinggi) menyifatkan peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad semalam, sebagai satu sejarah baharu.


Beliau yang berpuas hati dengan pengumuman tersebut, berkata, ia sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Kita berasa lega dan berterima kasih dengan peruntukan RM200,000 untuk semua 59 DUN di Perak.


“Apa yang diumumkan oleh YAB Kota Tampan adalah sejarah, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.


“Semoga pendekatan ini akan menjadi satu permulaan yang baik ke arah politik matang di negara kita,” katanya dalam ucapannya ketika membahas Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.


Dalam perbahasannya, Abdul Aziz turut membangkitkan isu banjir yang melanda di beberapa tempat di Perak dan berharap agar masalah itu dapat ditangani secara bersepadu.


Katanya, dengan adanya peruntukan sebanyak RM8.5 juta untuk rancangan tebatan banjir seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021, ianya diharap dapat mengurangkan permasalahan tersebut.


Selain itu, beliau juga mencadangkan agar kerajaan negeri menjalankan usaha mengemas kini data penduduk di negeri ini untuk memudahkan proses memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.