IPOH, 27 Nov – Kerajaan negeri Perak menyalurkan peruntukan sebanyak RM220,000 kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perak bagi Program Subsidi Mamogram dan Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) fasa kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ia sebagai tambahan kepada yang disalurkan untuk fasa pertama sebanyak RM230,00.

Menurutnya, 1,000 wanita di Perak yang kurang berkemampuan melakukan Ujian HPV DNA
akan mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.

“Peruntukan tambahan ini akan menggalakkan lebih ramai golongan tersebut menjalani ujian tersebut bagi mencegah kanser payudara dan kanser serviks.

“Insyallah jika mungkin, kita akan meneruskan inisiatif ini pada fasa ketiga pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri di Klinik Nur Sejahtera di sini, pada Khamis.

Turut hadir Pengarah LPPKN Perak, Nur Farhana Lee Mohd Zulkifli Lee.

Dr Wan Norashikin berkata, golongan sasar inisiatif itu ialah mereka yang mempunyai simptom atau risiko susulan sejarah keluarga di samping dari kumpulan B40.

Menurutnya, mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program itu, boleh terus mendapatkan penerangan ataupun berdaftar di enam Klinik Nur Sejahtera LPPKN Perak iaitu di sini, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Taiping, Tanjung Malim dan Seri Manjung.

Di samping itu, kata beliau, tiga hospital panel di sini dan satu di Teluk Intan turut dijadikan sebagai hospital panel untuk rawatan tersebut.

Pada majlis itu, Dr Wan Norashikin turut menyampaikan sumbangan 200 Bakul Kasih Keluarga kepada lapan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOS) untuk diagihkan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir.

NGO berkenaan ialah Hidayah Center Foundation Perak, Pertubuhan Kebajikan Muaalaf India SeMalaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Ipoh, Malaysia Punjabi Muslim Association Perak, Kelab Rekreasi Wanita Muda Prohatin Ipoh Timur Perak, Pertubuhan Nadi Masyarakat Perak, Pertubuhan Belia 4B Ipoh serta Pertubuhan Wanita Jiwa Kental Kampung Gajah.