IPOH – Kerajaan Perak meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaik pulih rumah Datuk Maharajalela yang terletak dalam Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pihaknya kesal dengan keadaan rumah pahlawan Melayu yang telah daif itu.

“Satu lawatan telah dilakukan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin sempena program Semarak Pelancongan Perak, Sabtu lalu di Parlimen Parlimen Pasir Salak. Kita berasa kesal bahawa rumah Datuk Maharajalela berada dalam keadaan daif.

“Justeru itu, kerajaan negeri lebih awal meluluskan peruntukan itu pada September lalu bagi membaik pulih rumah tersebut melalui Lembaga Muzium Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nolee Ashilin Mohamed Radzi


Nolee Ashilin berkata, kerja-kerja pemuliharaan akan dilaksanakan pada Januari tahun hadapan.

“Bagaimanapun, kerja-kerja dilipidasi akan dijalankan terlebih dahulu pada hujung November ini bagi mengenal pasti tahap kerosakan dan seterusnya menjalankan kerja pembaikan.

“Lembaga Muzium negeri juga telah mendapatkan kelulusan merizabkan tanah ini bagi tujuan tapak Kompleks Sejarah Pasir Salak dan akan memagar seluruh kawasan rumah tersebut bagi tujuan mengawal selia keselamatan premis itu,” katanya.