IPOH, 17 DIS: Peruntukan tambahan dicadangkan bagi menambah bilangan petugas kesihatan secara kontrak dalam usaha menangani kes Covid-19 di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai) berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan jika benar ada kekangan dari segi kekurangan kakitangan pegawai kesihatan.

“Adakah kekangan iaitu tidak cukup kakitangan pegawai kesihatan awam yang menyebabkan Covid-19 merebak dengan cepat di Perak?

“Saya cadangkan supaya ada satu pertambahan bajet walaupun kita faham ianya di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, kalau boleh kerajaan negeri bantu dengan tambah peruntukan untuk pengambilan pegawai kesihatan secara kontrak,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Katanya lagi, walaupun secara amnya proses pengambilan itu berlangsung di peringkat Pusat namun ianya akan mengambil masa yang agak lama.

“Saya faham dalam belanjawan di peringkat Persekutuan akan ada 2,000 pegawai kesihatan awam diambil, tetapi proses itu makan masa mungkin beberapa bulan.

“Itu pun tahun hadapan baru akan bermula proses pengambilan baharu, jika benar kekangan pegawai itu berlaku maka saya rasa kerajaan negeri boleh pertimbangkan cadangan itu,” katanya.