SLIM RIVER: Polis menerima laporan seorang lelaki yang memakai gelang positif COVID-19 berwarna biru muda melarikan diri dari wad 7, Hospital Slim River, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada pihak hospital berkenaan kira-kira jam 4.48 petang.

Bagaimanapun, katanya, lelaki berusia 29 tahun itu berjaya ditemui semula kira-kira jam 6 petang oleh sepasukan anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Slim River di kawasan Bandar Baru berhampiran Petronas Slim River.

“Sepasukan petugas kesihatan yang lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE) telah datang mengambilnya untuk dibawa semula ke Hospital Slim River,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, maklumat terkini yang mereka perolehi mengatakan hasil saringan COVID-19 oleh pihak Jabatan Kesihatan Slim River, lelaki tersebut disahkan negatif dan akan dibenarkan keluar esok.

“Hasil semakan rekod jenayah oleh pihak polis mendapati lelaki tersebut mempunyai enam rekod lampau dan telah ditangkap,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 186KK, 269 KK & 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.