JAKARTA: Jika kebanyakan negara mengenakan kompaun dan denda terhadap rakyat mereka yang tidak memakai pelitup muka bagi memutuskan rantaian COVID-19, lain pula di Indonesia.

Pesalah di republik itu yang ditangkap kerana tidak memakai pelitup muka kini dipaksa menggali kubur bagi jenazah COVID-19 sebagai hukuman alternatif.

Menurut pihak berkuasa tempatan, pelaksanaan hukuman yang unik itu bagi memberi kesedaran kepada rakyat agar mengendahkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dalam memutuskan rantaian virus itu.

Setiap pesalah yang ditahan diberi pilihan untuk didenda 150,000 rupiah (RM10) atau hukuman sosial dengan menggali kubur untuk jenazah pesakit COVID-19.

Setakat ini, tiga lelaki dan lima remaja telah dikenakan hukuman terbabit di Wilayah Gresik, Jawa Timur pada 9 September lalu.

Ketika kerajaan republik itu mewajibkan pemakaian pelitup muka, masih ada rakyat yang tidak mengendahkan arahan berkenaan yang dikhuatiri membawa kepada peningkatan kes positif di negara itu.

Sehingga kini, 230,000 kes dicatatkan di negara itu dengan lebih 160,000 telah pulih dan 9,100 kematian.

Bagaimanapun, sejak Julai lalu, Indonesia mengetatkan penguatkuasaan dengan menubuhkan pasukan khas memantau pemakaian pelitup muka melibatkan Tentera Nasional Indonesia, Polis Republik Indonesia dan beberapa lagi agensi kerajaan.

Ia merupakan hukuman unik kedua yang dikuatkuasakan di negara itu selepas Jakarta sebelum ini memaksa mereka yang ditahan untuk duduk di dalam keranda di khalayak awam.