MANJUNG: Seorang pesara polis maut manakala cucu lelakinya cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta di Kilometer 3 Sitiawan- Kampung Acheh di sini pada Isnin.

Mangsa yang dikenali sebagai Azmin Hassan, 59 dikatakan dalam perjalanan menghantar cucu lelakinya yang berusia 6 tahun ke tadika pada jam 7.55 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dan kereta dari arah yang sama iaitu Sitiawan ke Kampung Acheh.

“Mangsa dan pembonceng (cucu) menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan pemandu kereta itu dari jenis Proton Pesona.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai penunggang motosikal telah mengubah lorong dari kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu kereta tidak sempat brek lalu melanggar di bahagian belakang motosikal.

“Susulan itu, penunggang motosikal mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakal pembonceng cedera di tangan dan kaki dan dirawat di Hospital Seri Manjung,”katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kereta yang cuai melanggar belakang motosikal.

Menurutnya, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 34 tahun yang tidak cedera ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Manjung untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.