MELAKA: Hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan menjadi balasan terhadap tindakan durjana seorang pesara tentera yang merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak saudara perempuannya di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 48 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merogol anak saudaranya yang ketika itu berumur enam tahun di rumahnya di Taman Tanjung Minyak Utama, dalam daerah Melaka kira-kira pukul 2 petang pada awal Disember 2013. 

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh turut didapati dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama kira-kira pukul 2.10 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pertama kali didakwa pada 25 Mei 2015 lalu selepas ibu bapa mangsa berjaya menghidu tindakan terkutuk tertuduh dan membuat laporan polis gara-gara sikap kanak-kanak itu tiba-tiba berubah menjadi agresif. 

Mangsa dikatakan pernah bertindak menekup muka adik lelakinya menggunakan bantal dan menjelaskan perbuatan itu turut dilakukan tertuduh terhadapnya. 

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira umur mangsa yang hanya berusia enam tahun ketika kejadian, selain hubungan mangsa iaitu anak saudara yang sepatutnya dilindungi.

Malah dalam hujahnya, mangsa yang kini berusia 13 tahun masih fobia dengan kejadian itu dan disahkan mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD).

Tertuduh yang diwakili Peguam N. Gunalan, bagaimanapun merayu hukuman ringan dapat diberikan dengan alasan anak guamnya menghidap asma yang teruk, selain perlu menanggung ahli keluarga. 

Norma kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, namun mengarahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini. 

Seramai 18 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dikemukakan sepanjang prosiding berlangsung sejak 26 Mei 2015. – UTUSAN