TELUK INTAN – Sikap segelintir pesawah yang mengamalkan konsep tanam, tinggal dan tuai (3T) adalah punca hasil tuaian padi mereka berkurangan selain turut menjejaskan pendapatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, amalam 3T berkenaan banyak diamalkan oleh pesawah Melayu kerana berasa apa yang diusahakan itu sudah cukup memuaskan dan baik.

“Mereka ingat bila dapat hasil enam tan metrik sehektar itu sudah cukup bangga sedangkan ada kawasan hasil padi mereka mencapai 10 hingga 12 metrik tan dan sudah tentu pendapatan mereka juga bertambah.

“Golongan pesawah yang mengamalkan 3T ini sepatutnya sedar akan sikap mereka itu perlu diubah dan bekerja keras selain mencontohi pesawah-pesawah cina terutamanya di Kampung Chui Chak, Langkap yang mengamalkan amalan pertanian baik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Pesawah Peringkat Negeri Perak di Chenderong Balai, tengah hari tadi.

Tambahnya lagi, kebanyakan pesawah yang mengamalkan 3T ini juga merupakan golongan yang sentiasa menyalahkan pihak-pihak tertentu apabila hasil padi mereka serta jualan berkurangan.

“Sepatutnya pesawah dari mula tanam padi sampai la dijual perlu sentiasa ada dan turun melihat hasil tanaman mereka bukannya tanam tinggal tuai dan tak cukup dari itu disuruhnya orang lori pergi sendiri jual padi mereka.

“Bila pemandu lori telefon bagi tahu banyak kena potong mulalah marah dan menyalahkan orang lain sedangkan dia tidak pernah berusaha mengamalkan amalan pertanian yang baik untuk meningkatkan mutu serta hasil padinya,” katanya.

Menurut Tajuddin kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif kepada pesawah termasuk pemberian subsidi baja dan racun bagi menggalakkan pesawah meningkatkan hasil padi yang berkualiti sekaligus meraih pendapatan yang lumayan.

“Kita hendak tengok dalam beberapa tahun ini pesawah dapat tingkatkan purata hasil tuaian dari 5.6 tan metrik untuk satu hektar kepada 10 tan metrik untuk keluasan yang sama selain menggandakan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan kepada RM4,000 sebulan,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan khas kepada pesawah di negeri ini Tajuddin berkata, seramai 11,843 pesawah menerima bantuan RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018, tahun lalu.

“Ini inisiatif kerajaan dalam meringankan beban pesawah sementara menunggu hasil tuaian mereka dituai dalam tempoh tiga bulan dan semoga ia bermanfaat buat mereka,” katanya – sinar