Bagan Datuk, 20 Dis : Keceriaan warna bunga matahari dengan keindahan panorama taman menjadikan Sunflower Garden di Bagan Sungai Burung, di sini, menjadi tumpuan orang ramai.

Taman bunga matahari itu tular di media sosial dan menjadi lokasi tarikan terbaru di Bagan Datuk untuk orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi dalam suasana perkampungan.

Malah, pencinta bunga matahari atau nama botaninya helianthus annuus juga tidak perlu ke ladang bunga matahari di Thailand yang terkenal dengan keindahan flora itu ketika pintu sempadan negara masih ditutup akibat pandemik Covid-19.

Pengunjung, Ariana Shah Shamin, 45, berkata, keindahan bunga itu mengamitnya ke Bagan Datuk biarpun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer dari Sabak Bernam, Selangor.

“Saya terkejut kerana di Bagan Datuk ada taman bunga matahari seindah seperti di Thailand dan ini membuatkan saya gembira dan teruja.

“Sebelum ini saya memang merancang mahu ke ladang bunga matahari di Bangkok tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana Covid-19,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kewujudan taman itu selepas tular di media sosial.

“Taman ini dalam kampung dan berbaloi menempuh perjalanan jauh untuk menikmati keindahannya.

“Kini tidak perlu ke luar negara untuk melihat dan bergambar dengan bunga matahari,” katanya.

Pemiliknya, Khor Weng Kiang, 46, berkata, taman bunga matahari itu dibuka bersama enam rakan baiknya sejak tahun lalu untuk merancakkan lagi pelancongan domestik.

Katanya, taman seluas 0.8 hektar itu mempunyai 2,000 pokok bunga matahari yang mengambil masa 90 hari untuk berbunga. – Harian Metro