IPOH: Warga kota Ipoh dan penduduk sekitarnya bakal mengalami suasana mengujakan pada mala mini apabila Pesta Belon Udara Panas yang diadakan sempena Perak Festival of Ideas bakal mewarnai langit Bulatan Amanjaya, malam ini.

Lebih menarik lagi, pengunjung yang bertuah juga berpeluang memenangi tiket percuma menaiki belon udara panas itu mengelilingi kawasan sekitar Bandar Meru Raya sempena malam perasmian festival tersebut.

Selain tiket percuma tersebut, pengunjung yang datang awal juga berpeluang memenangi tiket masuk ke Movie Animation Park Studios (MAPS) yang disediakan oleh penganjur.

Pesta Belon Udara Panas dibawakan khas buat pertama kalinya pada penganjuran PFoI kali ini dan menjadi antara acara kemuncak pelancaran festival itu yang bakal disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Para pengunjung yang mahu lebih relaks menikmati acara malam pelancaran PFoI boleh menggunakan khidmat pemandu UBER dengan potongan harga istimewa RM10 sehala menggunakan kod promo PFOI2017.