SELAMA: Pesta Rakit Larut 2017 yang berlangsung di Sungai Bayor, di sini hari ini dicatat dalam Malaysia Books Of Record (MBOR) sebagai penyertaan peserta paling ramai dalam pertandingan rakit.

Acara tahunan yang memasuki edisi kelima itu membabitkan penyertaan 1,200 peserta dalam dua kategori iaitu perlumbaan rakit dan rakit berhias yang terbuka kepada orang awam serta agensi kerajaan.

Penganjuran pesta itu turut menarik lebih 10,000 pengunjung bagi memeriahkan acara yang membabitkan laluan Sungai Siputih sejauh empat kilometer bermula dari Kampung Teluk Mas hingga pekan Sungai Bayor, Selama.

Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Larut dengan kerjasama Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan JL 99 Group itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, penganjuran kali ini lebih istimewa kerana pihak MBOR dijemput untuk mengiktiraf acara itu sebagai penyertaan paling ramai dalam pertandingan rakit.

“Sebanyak 256 rakit terbabit dalam acara tahun ini membabitkan kategori rakit laju dan rakit berhias.

“Tahun ini juga ada kelainan apabila diadakan kategori untuk pelajar sekolah seluruh Perak sebagai sebahagian program kokurikulum,” katanya ditemui selepas melepaskan peserta di Kampung Teluk Mas, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, antara tujuan utama penganjuran pesta rakit berkenaan adalah bagi memperkenalkan Selama kepada rakyat negara ini serta mengekalkan tradisi penggunaan rakit.

“Kita akan pertahankan penggunaan rakit yang dibuat menggunakan buluh ini agar generasi muda mengenali dan tidak melupakannya.

“Selain itu, pesta ini juga dapat menarik pengunjung dari seluruh Perak, negeri berhampiran serta negeri lain yang berminat dengan sukan ini,” katanya.