KOTA KINABALU : Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony hari ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta di Mahkamah Khas Rasuah, di sini.

Peter membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadap beliau di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dua pertuduhan itu di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, manakala tiga lagi mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mengikut pertuduhan pertama, Peter didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Julai 2014 iaitu melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dengan mengarahkan individu tertentu memindahkan wang RM1.75 juta daripada akaun bank milik syarikat Budiman Juta Sdn Bhd ke akaun bank syarikat Wondrous Enterprise Sdn Bhd, di Malayan Banking Berhad, Lot 6 & 7, Jalan Perpaduan, Kampung Air, dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua, Peter didakwa menerima wang berjumlah RM2 juta iaitu hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Budiman Juta Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun milik Asli Jati Engineering Sdn Bhd, iaitu syarikat milik beliau, di tempat yang sama pada 4 Ogos 2014.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketiga dan keempat pula, Peter didakwa menerima wang sebanyak RM900,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Budiman Juta Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun milik syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd, juga di lokasi sama, masing-masing pada 5 Sept 2014 dan 7 Dis 2015.

Peter dituduh menerima wang tunai RM4.1 juta, hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Budiman Juta Sdn Bhd di lokasi sama antara 20 Nov 2015 dan 18 Jan 2016, bagi pertuduhan kelima.

Ketiga-tiga pertuduhan itu jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Peter diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin tempatan, serta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sekali dalam dua bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya SPRM iaitu Ahmad Akram Gharib dan Nartiah M. Sambatan manakala Peter diwakili empat peguam iaitu Cedric Choo, Datuk Douglas Lind, Martin Tommy dan Luke Ressa Balang.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 Ogos ini. – BERNAMA