IPOH: Dewan Negeri Perak yang bersidang hari ini meluluskan sebulat suara usul menjunjung kasih dan sembah taat setia terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Usul itu ekoran mesyuarat khas Raja-Raja Melayu pada Ahad yang menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, mengenepikan perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.
 

Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Faizal Azumu ketika membentangkan usul itu berkata, titah itu sewajarnya sentiasa dijunjung dan dipatuhi, sejajar dengan kedudukan sebagai Raja pemerintah.

Menurutnya, Dewan Negeri Perak berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah mengambil kira keperluan rakyat serta mengutamakan kepentingan semua pihak.
 

“Baginda juga telah bertitah bahawa baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 dari terus merebak,” katanya.

 
Ahmad Faizal berkata, seiring dengan usul itu, Dewan Negeri Perak ingin menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Di kesempatan itu, beliau turut mengumumkan bahawa Dewan Negeri Perak hari ini telah mencipta sejarah dengan mengambil langkah memartabatkan kedudukan Institusi Diraja dengan memastikan ia sentiasa berada di tempat yang paling tinggi, sejajar dengan peranan baginda sebagai payung negeri.

Menurutnya, pembaharuan yang diambil ialah dengan menetapkan Peterana Diraja dikhususkan untuk kegunaan Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak, berkuatkuasa serta merta.

“Menyelusuri sejarah Dewan Negeri Perak sejak persidangan pertamanya pada tahun 1948, sehingga kini Dewan Negeri telah bertapak di tiga tempat yang berbeza. Namun tiada pengkhususan kegunaan Peterana Diraja,” ujarnya.

 
Ahmad Faizal berkata, sejajar dengan pelbagai pembaharuan yang dilakukan secara berterusan oleh Dewan Negeri Perak, ianya pasti akan lebih bermakna dengan memartabatkan kedudukan Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak di kedudukan yang paling tinggi di dalam Dewan Negeri.