PASIR SALAK: Perak Agrotourism Resort (PATRO) akan membangunkan zoo haiwan jinak (petting zoo) terbesar di Malaysia mulai Oktober ini bagi meningkatkan kehadiran pelawat ke destinasi pelancongan tersebut.

Pengarah Eksekutifnya, Mohd Radzuan Abdul Karim berkata, zoo itu yang dijangka siap sepenuhnya Februari depan, akan dibina di atas kawasan seluas empat hektar di Sungai Galah dengan kos RM5 juta.

Menurutnya, zoo itu yang merupakan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menampilkan kombinasi tiga elemen – haiwan, tumbuhan dan alam semula jadi.   

“Ini idea Menteri Besar ketika saya
membentangkan kertas kerja untuk penjenamaan semula PATRO yang ditutup sebelum ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya yang ditemui pemberita selepas pelancaran semula PATRO dekat sini, hari ini.

Pelancaran semula itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

PATRO ditutup buat sementara waktu sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas akibat penularan COVID-19.

Sementara itu, Nolee berkata, dengan pembukaan semula, pusat pelancongan lasak itu menawarkan diskaun hingga 50 peratus kepada pengunjung.

Diskaun tersebut yang ditawarkan hingga Disember ini meliputi penginapan dan juga aktiviti seperti kenderaan pelbagai permukaan (ATV), kayak, jet ski, ‘paddle boat’, basikal dan berkuda.

“Pembukaan semula PATRO ini dapat melengkapkan industri pelancongan di Perak dan merupakan antara usaha kita untuk menggiatkan semula aktiviti pelancongan di negeri ini,” ujarnya.