BAGAN SERAI: Petugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara diminta sentiasa mengingatkan mangsa banjir supaya jangan alpa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengeluarkan SOP untuk pusat-pusat pemindahan dan ia boleh dirujuk di dalam laman web agensi-agensi berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bagaimanapu berkata, perkara asas yang perlu dipatuhi ialah menjaga kebersihan, penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka dan mengelakkan tempat yang sempit.

“Kita bimbang, kalau kita lihat gelombang ketiga yang berlaku ni semua orang tahu daripada kealpaan kita, tu saya sebut sikit tadi.

“Undang-undang dah ada, peringatan dah ada, NADMA dan keluarkan, kerajaan dah keluarkan berdasarkan nasihat KKM tapi adakah rakyat kita sentiasa jaga.

“Saya tak kata sape-sape kat sini tak jaga, kita jaga tapi kadang-kadang kita alpa, kita terlalai, kita ni manusia.

“Lagikan kami di kementerian pun manusia juga, kadang-kadang kita terlalai, jadi kita perlu sama-sama kita menasihati, itu kebimbangan kita,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai, Perak, pada Sabtu.

Seramai 142 mangsa banjir dari 60 keluarga ditempatkan di pusat itu apabila 11 buah kampung dinaiki air sejak pagi Jumaat.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di seluruh Perak sehingga tengahari Sabtu meningkat kepada 246 orang daripada 90 keluarga.

Kesemua mereka ditempatkan di empat buah PPS iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap; Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ara, Batu Kurau; Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang di Kuala Sepetang dan Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai.