IPOH: Kepelbagaian bentuk program sepanjang Temasya Idea Perak (PFOI) menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyertai sesi lelongan karikatur wajah tiga karyawan seni iaitu Datuk Lat, Hassan Muthalib dan Azmi Hussin.

Sesi lelongan yang menjadi acara kemuncak sesi dialog “Kartun, Karikatur dan Animasi – Dunia Tanpa Sempadan” itu menarik bidaan daripada pesertanya yang terdiri daripada peminat dan penggiat seni serta beberapa orang exco kerajaan negeri Perak.

Nasib menyebelahi Dr Zambry apabila bidaannya bernilai RM1,000 berjaya memenangi karikatur tiga wajah yang dihasilkan oleh Azmi.

Berliau menewaskan bidaan yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Air dan Tenaga negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Lat, kartunis tokoh negara dan Pak Hassan iaitu bapa animasi Malaysia serta Azmi berkongsi pengalaman dan pandangan bernas mengenai bidang masing-masing dalam sesi dialog berkenaan yang merupakan sebahagian daripada 73 program sepanjang PFOI yang diadakan sempena Pangkor Dialog 2017.

MB-karikatur 5

Sesi dialog yang membincangkan sumbangan industry animasi, kartun dan karikatur itu dianjurkan dengan kerjasama Sharpened Word, sebuah pertubuhan sukarela yang memperjuangkan karya seni dan penulisan.

Pada sesi dialog itu, Dr Zambry turut meraikan dan memotong kek sempena ulang tahun kedua penubuhan Sharpened Word.

Bercakap kepada Berita Harian, Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid berkata, sesi dialog itu membolehkan 60 peserta berkongsi pandangan dan memahami kerjaya dalam bidang animasi dan karikatur dengan lebih dekat.

“Saya sebagai orang lama yang mungkin hadir dengan gaya lukisan tersendiri dalam bentuk idea orang lama, jadi inisiatif PFoI dalam menjayakan program pada hari ini sekurang-kurangnya dapat berkongsi idea baharu karikatur.

“Sebagai contoh, idea animasi dan lukisan karikatur terkini juga dibantu oleh teknologi tinggi dalam pelbagai cara untuk mengembangkan hasil seni itu di dalam mahupun dunia,” katanya.

Beliau turut memberi idea berkenaan industri seni karikatur yang harus dipertingkatkan di negeri ini ke tahap yang lebih luas.

“Mungkin pada masa hadapan kita boleh menjayakan satu acara yang dapat membawa kartunis luar negara datang ke negeri ini dan membawa mereka ke lokasi utama seperti Royal Belum agar mereka boleh berkongsi idea dan mengetengahkan (apa yang dilihat) di peringkat antarabangsa (melalui karya),” katanya.