Firma penyelidikan Fitch Solution meramalkan populariti Pakatan Harapan (PH) merudum dalam beberapa bulan akan datang kerana antara lain disebabkan dasar dan perbalahan dalam gabungan politik itu.

Firma penyelidikan itu menyatakan meskipun kajian itu tidak menjurus kepada kemungkinan pembubaran PH, namun risiko hal itu berlaku juga semakin meningkat.

“Pandangan kami di Fitch Solutions ialah PH mengalami risiko kejatuhan popularitinya kerana tiga sebab – pertama, pengundi mungkin semakin berpendapat bahawa kerajaan tidak membantu mengurangkan kos hidup.

“Kedua, gabungan itu berulangkali memaparkan perpecahan dan ketiga, kekecewaan pengundi dengan idea bahawa kerajaan PH akan meneruskan ‘Malaysia Baru’ dengan tahap kesetaraan kaum yang lebih tinggi,” kata firma itu dalam satu kenyataan.

Firma itu menilai skor risiko politik jangka pendek Malaysia pada 72.5 daripada 100, dengan ‘proses membuat dasar’ dan ‘kesinambungan dasar’ menjadi sub-komponen paling lemah pada 68.3 dan 67.5.

Fitch Solutions memetik kegagalan PH setakat ini untuk memastikan beberapa janji pilihan raya, seperti menyelaraskan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dan memperkenalkan semula subsidi bahan api sebagai punca pertikaian.

“Kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,050 mulai 1 Januari dan menetapkan RM3 bilion untuk melaksanakan subsidi bahan api dalam bentuk harga tetap dari 7 Jun 2018 hingga akhir tahun, peruntukan untuk subsidi dikurangkan kepada RM2 bilion untuk keseluruhan 2019 dan skim itu diubah kepada apungan terurus.

“Dengan harga minyak mentah dijangka meningkat pada tahun 2019 daripada harga Brent semasa pada harga AS $ 62.21 setong pada 31 Januari, rakyat Malaysia kemungkinan akan menghadapi harga minyak yang lebih tinggi di bawah sistem apungan terurus pada 2019.

“Langkah-langkah ini, walaupun positif untuk prospek fiskal negara, menyebabkan kemerosotan sokongan kepada PH di kalangan pengundi,” kata firma itu.

Keadaaan ini ditambah pula dengan pelaksanaan cukai gula yang akan berkuatkuasa pada 1 April, mungkin akan mengelirukan pengundi yang sudah mengeluh mengenai kos sara hidup yang tinggi, kata Fitch Solutions.

Perbalahan parti komponen

Firma itu turut memberikan contoh perpecahan di kalangan parti komponen PH yang dipapar kepada umum dan akan memberi kesan negatif kepada pendapat orang ramai mengenai gabungan itu.

“Kejadian terbaru yang dilaporkan melibatkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman yang menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy, meletakkan jawatan berhubung kes rusuhan kuil Seafield pada November 2018,” katanya.

Menurut firma itu, gesaan Syed Saddiq agar Waytha Moorthy meletakkan jawatan dikecam oleh tokoh-tokoh utama DAP, termasuk Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Manakala Syed Saddid pula menegaskan tidak akan memohon maaf kerana berterus terang dan mengatakan beliau menyertai politik bukan kerana mahu menjadi ‘pak turut’.

Faktor ketiga yang akan menyumbang kepada kehilangan populariti PH adalah tindakan perlahan kerajaan mewujudkan ‘masyarakat samarata’ dari segi hubungan kaum di Malaysia, kata firma itu.

Walaupun mengambil beberapa langkah progresif seperti melantik Lim Guan Eng bagi portfolio Kewangan dan Tommy Thomas sebagai peguam negara ketika awal PH berkuasa, gabungan itu kemudian membatalkan rancangannya untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

“Ketegangan dalam PH menyebabkan kita percaya bahawa kemerosotan populariti yang besar boleh mengakibatkan peningkatan perbalahan antara parti komponennya.

“Walaupun pembubaran kerajaan disebabkan ini bukan pandangan teras kami, risiko kemerosotan semacam itu akan meningkat sekiranya ketegangan antara parti berlaku.

“Ini khususnya akan berlaku sekiranya kerajaan menunjukkan sikap ‘favouritism’ yang berterusan kepada pengundi majoriti Melayu yang boleh mengasingkan etnik minoriti,” kata Fitch Solutions.

Menurutnya, parti-parti komponen yang lain khususnya DAP, akan merasakan keperluan untuk mengekalkan sokongan kaum minoriti dan keadaan itu akan menyebabkan perpecahan lebih besar dalam kerajaan sebelum 2023 – Malaysiakini