IPOH: Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan yang membawa agenda Malaysia baharu, tidak akan membuat keputusan atau polisi yang merenggangkan (divisive policies) masyarakat berbilang kaum.

Beliau percaya dan yakin, rakyat akan terus memberi sokongan kepada PH, selagi mereka terus memberikan tumpuan dan tenaga kepada perkara-perkara yang mampu meningkatkan taraf pendidikan generasi muda, taraf sosio-ekonomi dan kebajikan semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukanlah pengakhiran kepada suatu perjuangan.

“Ia adalah langkah pertama untuk kita membuktikan bahawa kerajaan ini, yang dibina atas keringat dan keberanian rakyat, akan terus menjadi kerajaan oleh rakyat dan untuk rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

YAB Ahmad Faizal menyeru semua pihak agar menjadikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-62 tahun ini sebagai detik permulaan kepada lembaran Malaysia Baharu.

“Dengan semangat menyambut Hari Kebangsaan yang ke 61, ini lah masa untuk kita bergerak ke arah Malaysia baru yang lebih adil kepada semua dan sekaligus memerdekan diri dari sikap syak wasangka dan prasangka anatara satu sama lain, demi generasi masa depan yang bakal mewarisi tanah tercinta ini,” ujarnya.

Beliau turut menyeru kepada semua wakil rakyat menerima hakikat yang rakyat telah pun membuat keputusan memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Oleh itu, berikanlah peluang dan ruang yang seadil-adilnya untuk kerajaan baharu ini untuk mentadbir negeri ke arah mengembalikan kegemilangan negeri dan negara yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau menambah, di dalam mensyukuri kejayaan pembentukan pentadbiran baharu ini, semua pihak harus menginsafi dan berpegang kepada titah Sultan Perak bahawa “yang menang tidak memang semua, yang kalah tidak kalah semua”.

Menurutnya, mereka perlu mengambil semangat politik matang di mana, pihak kerajaan bersikap terbuka kepada kritikan dan teguran, dengan harapan pihak pembangkang juga menjadi pembangkang yang membina, bukannya bersifat meruntuhkan.

“Sebagai Menteri Besar, saya dan barisan Exco serta barisan wakil rakyat memikul tanggungjawab yang amat yang berat untuk memenuhi harapan rakyat yang begitu menggunung tinggi. Saya tidak menganggap ini sebagai satu keistimewaan tetapi adalah ujian yang begitu getir yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

“Justeru, saya menyeru supaya kita berpegang dengan erat akan janji kita kepada rakyat, seperti yang ditegaskan dalam titah perasmian oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak,” tambahnya.