JOHOR BAHRU : Mesyuarat tergempar Pakatan Harapan (PH) Johor yang disertai 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membincangkan kewujudan Kabinet bayangan Kerajaan Negeri Johor termasuk calon Menteri Besar.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, mesyuarat yang berlangsung Sabtu lalu membincangkan kemungkinan berlaku seandainya berlaku perubahan selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis ini.

“Pertama sekali, kita bincangkan tentang Kabinet bayangan kita seandainya berlaku perubahan, dalam masa sama kita juga akan tentukan bilangan Exco.

“Nama dicadangkan (sebagai bakal Menteri Besar) itu bukan ada dua nama (sahaja), itu semestinya ada. 

“Sebenarnya Kabinet bayangan ini kepada kami adalah lebih kepada untuk memberi tanggungjawab kepada semua wakil rakyat. Bagaimanapun tunggu sahaja nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Amanah Johor di sini hari ini.

ADUN Parit Yaani itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama-nama calon Menteri Besar daripada PH.

Pengerusi Amanah Johor itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tergempar PH Johor pada 5 September lalu.

Mesyuarat tergempar itu dilakukan susulan perkembangan politik terkini Johor terutama menjelang persidangan Dewan Negeri Johor pada 10 dan 13 September ini. – UTUSAN