JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini mendakwa sudah mendapat sokongan daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata jumlah terkumpul itu diperoleh melalui DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Beliau berkata demikian ketika sidang media di sini, malam ini yang turut dihadiri ADUN Simpang Jeram yang juga Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi, manakala 34 kerusi diperlukan bagi mendapatkan majoriti dua pertiga kerusi DUN.

Selasa lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad, mendakwa sudah mendapat sokongan daripada 33 ADUN termasuk lima daripada PH, bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Jumlah itu membabitkan 17 ADUN UMNO, MIC dan PAS, selain 11 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tiga PKR dan dua AMANAH.