JOHOR BAHRU : Pakatan Harapan (PH) Johor memohon satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas diadakan bagi mengesahkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata pihaknya akan menyerahkan surat permohonan berkenaan kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat, pada Ahad ini.

Katanya, PH Johor tidak menentang keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk melantik Hasni sebagai Menteri Besar.

“Namun, kami berpendapat bahawa sebagai Menteri Besar, Hasni perlu ada tanggungjawab untuk mengadakan sidang DUN Khas bagi membuktikan beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru,” katanya.