PUTRAJAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan akan membincangkan kemungkinan menurunkan calon muda pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon berusia 18 tahun bertanding dalam PRK bulan depan.

Bercakap selepas melancarkan Bulan Sukan Negara (BSN) di sini, hari ini, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaimanapun tidak memberitahu bila mesyuarat itu akan diadakan.

Terdahulu, SPR menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini, dengan penamaan calon pada 2 Nov dan pengundian awal 10 hari kemudian.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, calon berusia 18 tahun boleh bertanding dalam PRK itu, tetapi rakyat berusia 18 tahun tidak dibenarkan mengundi pada 16 Nov nanti kerana pindaan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 Sept lalu belum dikuatkuasakan.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik, 43, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga menteri belia dan sukan menyasarkan lebih lima juta orang menyertai BSN di seluruh negara pada 12 Okt ini, dengan sambutan peringkat kebangsaanĀ akan diadakan di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil.

Katanya, BSN tahun ini akan mengetengahkan unsur 3M, iaitu murah, mudah dan menarik menerusi pengisian program sukan, rekreasi serta kecergasan.

-FMT