MELAKA : Pakatan Harapan (PH) Melaka akan melancarkan program Jelajah Selamatkan Melaka mulai malam ini bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai ‘kerajaan pintu belakang’ yang bakal dibentuk Perikatan Nasional (PN).

Pengerusinya, Adly Zahari menegaskan, program itu akan dimulakan di Paya Rumput, dekat Alor Gajah sebelum ke Pengkalan Batu, Telok Mas dan Rembia.

Adly yang mendakwa masih memegang jawatan Ketua Menteri berkata, program berkenaan penting berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini bersama PH tetapi kini bersekongkol dengan PN.

Adly turut mendakwa tindakan ADUN itu dibuat semata -mata untuk merebut kuasa.

“Rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan itulah faktor mengapa kami dalam PH berkolaborasi untuk memberi penjelasan supaya kuasa sebenar membentuk kerajaan dikembalikan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AMANAH di Bukit Katil, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik dan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.

Ditanya mengenai sama ada beliau masih menganggap dirinya Ketua Menteri Melaka yang sah, Adly berkata, beliau masih belum meletakkan jawatan. Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan politik semasa, beliau dimaklumkan oleh Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, beliau tidak memegang jawatan berkenaan lagi.

Adly berkata, beliau akan memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan negeri dalam urusan penyerahan dokumen berkaitan projek pembangunan, ekonomi dan sosial yang ada padanya kepada pentadbiran baharu jika diminta berbuat demikian.

Mengenai dakwaan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee kononnya beliau menjadi barua ketika dalam PH, Adly berkata, ia sekadar alasan ADUN terbabit untuk menutup tindakannya melompat ke PN.

“Itu hanyalah alasan untuk menutup kelemahan sendiri kerana dalam kerajaan PH, kita bekerja secara berpasukan, bukan dia seorang sahaja yang bekerja untuk rakyat,” katanya.

Sehubungan itu beliau yakin rakyat Melaka akan mengembalikan pemerintahan negeri ini kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 -BH