KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) telah menolak cadangan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri (PM) selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sinchew Daily melaporkan, PH+ yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, Warisan dan kem penyokong Dr. Mahathir gagal mencapai persetujuan mengenai calon PM.

Dalam mesyuarat yang dijalankan baru-baru ini, PH telah bersetuju supaya Anwar menjadi calon PM, sementara Dr. Mahathir mencadangkan dirinya sebagai PM manakala Anwar sebagai timbalannya.

“Dr. Mahathir mencadangkan supaya beliau menjadi PM selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan kepada Anwar jika PH berjaya mengambil alih kuasa pentadbiran.

“Cadangan ini bagaimanapun tidak diterima PH,” kata sumber kepada Sinchew Daily.

Menurut sumber, Dr. Mahathir berharap diberi peluang untuk menunjukkan dirinya sebagai ikhlas dalam menyerahkan kuasa kepada Anwar.

“Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah menyuarakan sokongan supaya Dr. Mahathir menjadi PM.” katanya.

Kata sumber lagi, mesyuarat selama tiga jam tertumpu kepada soal PM dan tidak berbincang tentang calon Timbalan Perdana Menteri.

Kegagalan mengenai calon PM juga menyebabkan satu lagi mesyuarat dijangka diadakan pada Selasa depan.

Mengenai kenyataan Anwar bahawa PH hanya mempunyai 107 kerusi, sumber berkata, angka sebenarnya adalah “mencukupi.”

“PH dan pihak Dr. Mahathir masih berbincang dengan GPS,” katanya. –  MalaysiaGazette