KUALA LUMPUR – Juara bertahan Piala Malaysia musim lalu, Perak bakal berdepan laluan getir apabila berada dalam satu kumpulan dengan naib juara Liga Super, Pahang dan juara Liga Premier musim ini, Sabah.

Turut bersama dalam Kumpulan C itu adalah Pulau Pinang yang kini sedang berada dalam prestasi terbaik.

Finalis musim lalu, Terengganu FC pula diundi bersama Kedah di Kumpulan A bersama PKNS FC dan Negeri Sembilan.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Daruk Ta’zim (JDT) pula berdepan laluan mudah apabila diletakkan bersama  PJ City FC dan PKNP FC serta UiTM FC dalam Kumpulan B.

Namun kelab berpengkalan di Petaling Jaya itu adalah satu-satunya pasukan yang menumbangkan gergasi bola sepak dari selatan tanah air itu pada musim ini manakala PKNP FC turut berjaya mengikat sang juara itu ketika perlawanan di Manjung.

Juara dengan rekod 33 kali Piala Malaysia, Selangor pula berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Melaka United, PDRM dan Felda United yang menyingkirkan Selangor dari pertandingan Piala FA pada musim ini.

Majlis undian Piala Malaysia 2019 dijalankan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi.

Sementara itu, kempen Piala Malaysia 2019 akan bermula pada 2 Ogos ini.