IPOH – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar hari ini mengadakan demonstrasi menuntut agar penolong kanan pentadbiran sekolah berkenaan dikekalkan.

Demonstrasi bermula jam 9 pagi di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar itu dibuat kerana tidak bersetuju dengan arahan memindahkan guru lelaki berkenaan ke sekolah lain.

Yang DiPertua PIBG, Meor Badrul Meor Ahmad berkata, jawatankuasa itu tampil membuat bantahan selepas mendapati, arahan pertukaran itu terpalit unsur sabotaj, dilakukan beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan guru terbabit.

Menurutnya, guru yang telah berkhidmat hampir 25 tahun di sekolah berkenaan, disifatkan seorang berdedikasi dan sering menjadi rujukan PIBG.

“Beliau juga seorang yang banyak menyumbang jasa, tenaga dan wang dalam menjayakan aktiviti bagi meningkatkan prestasi sekolah.

“Apabila kita maklum pertukaran ini atas sebab lain, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan jawatankuasa PIBG dan penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini PIBG ada mengadakan pertemuan bersama PPD untuk menyuarakan pandangan berhubung isu itu, namun tidak menemui jalan penyelesaian.

Katanya, alasan diberi pihak pentadbiran, hanya kerana penolong kanan berkenaan sudah lama berkhidmat di sekolah itu.

“Kita masih memerlukan khidmat dan bakti beliau, tuntutan mengekalkan guru adalah demi kebaikan murid.

“Adalah tidak adil, isu peribadi digunakan hingga memberi tekanan kepada pentadbiran dalam membuat satu-satu keputusan,” katanya.

Satu memorandum yang mengandungi tanda tangan penduduk juga ibu bapa diserahkan kepada PPD Kuala Kangsar sebagai menyokong desakan dilakukan.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mat Lazim Idris mengesahkan bahawa PPD Kuala Kangsar ada menerima memorandum tuntutan yang dibuat PIBG sekolah berkenaan.

“Pihak PPD akan meneliti  memo ini sebelum membuat apa-apa keputusan selaras dengan peraturan sedia ada,” katanya – sinar