Pihak berkuasa telah menyita rumah keluarga ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, yang didakwa menjadi dalang skandal 1MDB.

Notis penyitaan ditampal di hadapan tembok rumah itu di Pulau Pinang, kata laporan New Straits Times.

Laporan itu menggambarkan rumah tersebut sebagai “luxurious mansion” (rumah agam).

Notis bertarikh 17 Januari itu ditujukan kepada Goh Gaik Ewe, ibu kepada Jho Low yang berusia 66 tahun.

Notis itu ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin, berkata hartanah tersebut merupakan perkara yang disebut dalam pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla).

Seksyen ini berkaitan kesalahan aktiviti pengubahan wang haram dan membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara dan denda lima kali ganda nilai dana yang dicuci atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Menurut laporan itu lagi, hartanah tersebut kelihatan seperti tidak berpenghuni untuk beberapa waktu.

Polis telah meminta Goh dan suaminya Low Hock Peng untuk membantu siasatan terhadap Jho Low.

Penyiasat antarabangsa percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah dilesapkan dari 1MDB.

Bekas perdana menteri Najib Razak mengaku tidak bersalah terhadap 42 pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan skandal 1MDB yang dikenakan mahkamah terhadapnya.

Polis mendakwa Najib telah menerima dana bernilai AS$ 972 juta yang dikaitkan dengan 1MDB. Bagaimanapun Najib menafikan sebarang salah laku – Malaysia kini