PUTRAJAYA: Faktor penentu kepada keputusan rakyat pada pilihan raya umum akan datang adalah keyakinan mereka terhadap pihak yang boleh mentadbir negara, menjaga kebajikan rakyat dan menentukan masa depan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata untuk itu kerajaan mahu setiap penjawat awam menjalankan pentadbiran dengan cekap, efisien dan berintegriti supaya segala kemudahan dan kebajikan yang sudah dirancang sampai ke tangan rakyat.

Beliau berkata, tahun ini ada kelainan sikit kerana ia tahun penting, tahun di mana rakyat akan membuat keputusan untuk menentukan masa depan negara.

“Jadi itulah sebab saya ingin jadikan tahun ini tahun teristimewa dan saya akan bekerja lebih kuat malah, timbalan saya pun akan kerja lebih gigih lagi.

“Saya berharap tuan puan dapat tolong, mudah-mudahan kita dapat jadikan Malaysia semakin indah dan lagi hebat serta lagi baik. Justeru, kita perlu bekerjasama dalam satu keluarga dan satu pasukan, Insya-Allah apa yang diharap akan jadi kenyataan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini. Ia adalah perhimpunan pertama tahun ini selepas majlis itu dibatalkan bulan lalu atas faktor cuaca.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, akujanji kerajaan pimpinannya kepada rakyat yang dibuat pada lima tahun lalu berjaya mencapai 97.6 peratus pelaksanaannya yang tidak mungkin menjadi kenyataan jika tiada kerjasama erat dalam kalangan penjawat awam.

“Satu hubungan yang kita perlu terus pelihara dan mantapkan lagi kerana penjawat awam adalah tulang belakang yang kita harapkan untuk mencapai cita-cita besar untuk Malaysia,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sudah banyak kejayaan yang dicapai negara dengan yang terbaharu, Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang meletakkan Malaysia sebagai negara Asia terbaik dalam Indeks Pembangunan Inklusif (IDI).

Katanya, Malaysia berada pada nombor 13 di dunia dan satu di Asia, manakala China di tempat ke-25 dan India nombor 62.

Najib berkata, nilai ringgit turut mengukuh dengan melepasi paras psikologi RM4 pada 5 Januari lalu dan menjadi antara matawang yang mencatat prestasi terbaik di dunia.

Katanya, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Ranjit Ajit Singh memaklumkan pengukuhan nilai ringgit itu disumbangkan oleh kemasukan dana asing kerana keyakinan terhadap dasar-dasar negara, selain kenaikan harga minyak.

“Inilah sentimen yang kita dapat lihat, dan tahun ini kita akan laksanakan Bajet 2018, yang bersifat inklusif, ada sesuatu untuk semua dalam bajet ini,” katanya.

 

Menyifatkan 2018 adalah tahun teristimewa, Najib berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bekerja lebih kuat.

“Tahun lalu adalah Tahun Penyampaian, tahun ini adalah Tahun Kejayaan dan Keberhasilan yang Mengkagumkan,” katanya.

Najib yang menunaikan ibadah umrah pada Disember lalu, turut berkongsi pengalaman menariknya bertemu dengan ramai rakyat Malaysia ketika menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Katanya, ia menunjukkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia adalah negara yang gagal dan bankrap adalah tidak benar.

“Ada (rakyat Malaysia) yang gamit dari jauh, ada juga yang ambil video. Ini pasti pada setiap waktu. Saya juga diberitahu di Oxford Street, London pasti terserempak dengan rakyat Malaysia,” kata Najib.

-Beritaharian