BAGAN SERAI: Cadangan Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan berkenaan, bukan bertujuan membebankan rakyat.

Sebaliknya, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali,
ia untuk memberi nasihat dan mengingatkan rakyat supaya lebih berhati-hati kerana denda yang dicadangkan adalah tinggi.

Menurutnya, cadangan pindaan itu adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi akta tersebut telah berusia 32 tahun.

“Akta ini sudah lama, denda RM1,000 itu sudah lebih 30 tahun, sekarang tidak ‘deterrence’ lagi.

“Malah kita risau sebab orang sekarang ni terpaksa bayar ujian, terpaksa bayar kuarantin, bayaran ni sendiri lebih mahal daripada denda. Jadi orang kata lebih baik denda kalau macam tu,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan naik taraf mini turf hoki Sekolah Kebangsaan Jalan Matang Buluh, di sini hari ini.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan Akta 342 akan membabitkan Seksyen 1, Seksyen 24 dan Seksyen 25 termasuk kadar penalti yang sewajarnya.

Sebelum itu, beliau mendedahkan Akta 342 akan dipinda bagi menaikkan kompaun RM1,000 kepada RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan terutama mengekang penularan COVID-19.

Noor Azmi berkata, semua pemegang taruh akan diminta memberikan pendapat masing-masing sebelum cadangan tersebut dapat diteruskan.

Pada program itu Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menyumbangkan RM 70,000 untuk naik taraf mini turf hoki Sekolah Kebangsaan Jalan Matang Buluh.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, KKM kini mengesan secara aktif terhadap kontak rapat kepada kluster Depoh Tahanan Imigresen(DTI) Semenyih 2.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak, termasuk pihak Jabatan Imigresen Malaysia supaya lebih berwaspada dan berhati – hati semasa menjalankan tugasan, terutama ketika mengendalikan warga asing.