PETALING JAYA: Pinggan mangkuk aneka warna dan hiasan memang nampak cantik, tapi ramai yang kurang tahu tentang implikasi penggunaannya.

Sejak tiga minggu lalu, pinggan mangkuk seramik ini tular dengan orang ramai menyerbu Pasar Seni dan beberapa lokasi lain semata-mata untuk mendapatkannya yang dijual pada harga serendah 50 sen.

Tidak lama selepas itu, tular pula dakwaan bahawa penggunaan pinggan mangkuk ini dalam penyediaan dan ketika menghidangkan makanan membahayakan kesihatan.

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia Universiti Malaya, Dr Nor Asrina Sairi berkata kebanyakan pinggan mangkuk, piring atau gelas yang mempunyai warna dan kemasan cantik seperti ini mempunyai kandungan logam berat plumbum (lead) dalam penghasilannya.

Katanya, disebabkan sifatnya yang bertoksid, ia kurang sesuai digunakan untuk menghidangkan makanan atau minuman.

“Bahaya untuk jangka masa panjang terutama untuk kanak-kanak, wanita hamil dan bayi, tapi bahayanya itu bukanlah secara terus atau langsung.

“Ia lebih kepada kuantiti yang sedikit, tapi kalau kita kerap guna dan untuk jangka masa lama, ia akan beri kesan kepada kesihatan,” katanya kepada mStar Online.

Menurut Nor Asrina pinggan mangkuk ini begitu mendapat sambutan hangat sekarang berkemungkinan besar disebabkan seluruh permukaannya (luar dan dalam) disadur dengan kemasan atau cat yang menampakkannya lebih menarik.

Ini berbeza dengan situasi dahulu yang mana kebanyakan kemasan atau cat hanya disadurkan di bahagian luar atau tepi mangkuk, pinggan atau cawan.

Bagaimanapun katanya, ramai yang tidak tahu kemasan ini mudah terhakis (leaching) apabila suhu panas atau bertindak balas dengan asid, menyebabkan plumbum akan masuk ke dalam badan manusia dengan cara meresap dalam darah, berkumpul dalam tisu dan seterusnya membawa kepada penyakit serius dalam jangka masa panjang.

“Saya cadangkan pengguna gunakannya untuk perhiasan atau koleksi, elakkan guna untuk hidang makanan harian.

“Kalau warna atau sadurannya di luar, itu OK lagi, tapi bila sekarang trend baru di bahagian dalam pun disalut, itu yang kita agak khuatir,” jelasnya.