Johor Bahru: Seorang penasihat jualan institusi kewangan beroperasi di Skudai, di sini, antara enam individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana meminta dan menerima rasuah bernilai RM50,000.

Sumber SPRM berkata, semua suspek berusia 29 hingga 33 tahun itu ditahan susulan kerjasama pasukan integriti institusi kewangan berkenaan selepas mendapati mereka terbabit meminta rasuah sebagai balasan menguruskan pinjaman peribadi seorang guru.

Katanya, empat suspek termasuk seorang wanita ditahan di Rompin, Pahang dan Permas Jaya, di sini, pada 8 Ogos lalu.

“Mereka semua ditahan selama tujuh hari sehingga 15 Ogos ini.

“Tangkapan berikutnya membabitkan dua wanita di sebuah rumah di Permas Jaya termasuk seorang penasihat jualan institusi kewangan beroperasi di Skudai,” katanya.

Hasil siasatan awal, katanya mendapati tindakan meminta rasuah dilakukan sebagai balasan menguruskan pinjaman peribadi berjumlah RM190,000.

-myMetro