Oleh: Abd Razak Mohd Ali

TEMOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) terus membina pekan-pekan kecil di negeri ini walaupun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3 juta untuk setiap pekan kecil.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbadanan itu melaksanakan projek pembangunan bukan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

Sebaliknya, kata beliau, ada di antara projek itu adalah sumbangan semula PKNP kepada rakyat sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Setiap satu projek ini (pekan kecil) PKNP rugi RM3 juta demi untuk rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Dataran Amanjaya Temoh dan Karnival Mahabbah di sini pada Khamis.

Hadir sama barisan exco kerajaan negeri seperti Datuk Dr Mah Hang Soon, Datuk Mohd Zahir Khalid, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria serta Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.

dataran-amanjaya-zambry 3

Dr Zambry memberitahu, Pekan Kecil Temoh merupakan pekan kecil yang ke 12 daripada 48 yang dirancang oleh kerajaan negeri.

Selain daripada projek pekan kecil itu, turut terlibat dalam projek pembangunan di kawasan itu ialah pembinaan Jalan Kg Batu Mashid – Manis yang bernilai RM14 juta dan pengindahan kawasan sekitar Tasik Temoh sebagai bernilai RM5 juta.

Dr Zambry juga meminta Saravanan dapat membantu memperkemaskan lagi sekitar tasik tersebut dengan pembangunan lestari seperti penghijauan kerana ia mula menjadi tempat tumpuan penduduk sekitar.

Dalam pada itu, Dr Zambry turut berharap pentadbir agama di negeri ini supaya lebih proaktif turun padang untuk bertemu rakyat dan menyelesaikan masalah mereka, seperti kes-kes perceraian, faraid dan pengagihan zakat.