WALAUPUN kalah pada aksi final Superbest Power Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim, tetap ada ganjaran menanti pemain PKNS FC.

Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, ia sebagai ganjaran kepada pemain yang telah menunjukkan aksi cemerlang sehingga berjaya layak ke saingan akhir Piala FA.

“Pihak pengurusan telah meluluskan insentif kepada pemain atas usaha gigih mereka layak ke final dan menunjukkan aksi yang amat konsisten setakat ini.

“Dengan barisan pemain yang kami ada ini kami tidak menyangka layak ke final dan telah mengetahui akan berhadapan dengan pasukan hebat seperti JDT. Jadi mereka layak menerima insentif walaupun tewas.

“Syabas kepada pemain yang telah bermain sepenuh hati dan penyokong yang hadir memberikan sokongan di Stadium Shah Alam, kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Mahfizul Rusydin meminta pemain tidak terlalu kecewa dengan kekalahan tersebut dan mahu mereka menumpukan pula cabaran untuk layak ke saingan Piala Malaysia.

“Piala FA sudah berakhir dan sekarang kami (pengurusan) pesan kepada pemain supaya tumpukan pula untuk layak ke saingan Piala Malaysia yang akan dapat diketahui sekiranya menang ketika menentang DRB Hicom esok.

Pemain juga sudah mula berlatih petang ini (semalam),” katanya.