BAGAN SERAI: Cuti dibekukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat Covid-19, bukan halangan untuk sepasang anggota polis melangsungkan pernikahan semalam walaupun kedua-duanya sedang dalam waktu bertugas.

Pasangan berkenaan, Konstabel Muhamad Adieadha Hamzah, 27, dan Konstabel Nor Edayu Mohamad Lakhin, 29, kedua-duanya bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan di Pejabat Agama Islam Bagan Serai petang semalam.

Mereka melangsungkan pernikahan ketika masih dalam waktu bertugas dan memakai pakaian seragam polis yang mendapat sokongan daripada pegawai atasan.

Menurut Nor Edayu, selelah selesai majlis pernikahan semalam, hari ini mereka kembali meneruskan tugas seperti biasa.

“Sebelum majlis pernikahan, saya bertugas seperti biasa. Saya bersyukur, majlis pernikahan kami dipermudahkan, tak sampai 10 minit pun.

“Walaupun tak meriah, tapi tak mengapa sebab nikah itu perkara yang wajib dan saya bersyukur kerana urusan pernikahan kami dipermudahkan.

“Saya teruja memakai uniform polis semasa majlis pernikahan kerana ia pakaian kebanggaan kami,” katanya hari ini.

Menurut Nor Edayu, majlis pernikahannya tetap teruskan semalam kerana mereka telah menetapkan tarikh untuk majlis tersebut dengan pejabat agama.

“Lagipun kita tak tahu bila pandemik Covid-19 berakhir, kalau ditangguh, setahun, dua tahun jika pandemik ini masih ada, tak kan kami tak nikah,” katanya.

Nur Edayu yang bertugas di Bahagian Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam IPD Kerian berkata, dia terlibat dengan kerja-kerja kebajikan.

Katanya, dia menghantar makanan kepada anggota polis yang terlibat dalam sekatan jalan raya (SJR) berikutan PKPB di daerah ini.

“Suami saya pula bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah dan dia terlibat dalam Op Cantas sepanjang PKPB,” katanya. – UTUSAN ONLINE