IPOH: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin Liga Malaysia yang disambung semula pada 26 Ogos ini tidak akan terjejas walaupun beberapa kawasan di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pentadbiran.

Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, beliau yakin pemain tidak terkesan kerana mereka sudah menjalani pemeriksaan dan melakukan ujian swap.

“Lagipun gejala berlaku jauh dari kawasan yang di daftarkan untuk permainan. Jadi tidak masalah tetali apapun FAM sentiasa memantau keadaan semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kongres Tahunan ke-62 Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di sini, hari ini.

Pada Isnin, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meluluskan permohonan kerajaan Negeri Kedah bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Pentadbiran (PKPD Pentadbiran) di empat mukim di negeri itu, mulai semalam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia merangkumi empat mukim termasuk Kubang Pasu dan Padang Terap.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff memuji PAFA kerana berjaya mengawal keadaan sempena pendemik covid – 19 yang menyaksikan tiada pemain dan pekerjanya dibuang kerja.

“Banyak pasukan terkesan dengan gejala yang melanda hingga menghadapi masalah membayar gaji pemain dan pekerjanya.

“Bagaimanapun berdasarkan laporan PAFA di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berjaya menangani masalah walaupun saya yakin turut terkesan dengan akibatnya,” ujarnya.”