TAIPING: Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Penjara Taiping dan Kem Tahanan (Kemta) Kamunting, beberapa jalan dan premis di sini ditutup mulai hari ini.

Keputusan penutupan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) malam tadi.

Menurut maklumat rasmi di dalam laman Facebook ‘Fascinating Taiping’ yang dikendalikan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), mesyuarat itu telah dipengerusikan Pegawai Daerah LMS, Mohamed Akmal Dahalan.

Keputusan yang telah dibuat ialah:-

• Penutupan Jalan Taming Sari bermula dari Mess Renjer hingga lampu isyarat persimpangan Sekolah Klian Pauh.

• PKPD Penjara Taiping turut meliputi kawasan Kuarters Anggota Penjara di kawasan Muzium Perak, Berek Hitam dan Blok Bunga Tanjung (di sebelah SK Klian Pauh).

• Muzium Perak ditutup pengoperasian sepanjang PKPD.

• Penutupan turut melibatkan kedai makan Nasi Lemak Kambus, Mom’s Prison, Nursery Yard Master dan Tokong Ling Nam Ku Miew.

Menurut maklumat itu lagi penutupan berkuatkuasa mulai hari ini (23 Oktober) sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Pada Khamis, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di sembilan penjara di Zon Utara dan Selangor serta kuarters perumahan penjara terlibat sehingga 4 November depan.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil susulan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mendengar pembentangan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung situasi penularan COVID-19 di penjara-penjara tersebut.

Ia melibatkan lima penjara iaitu Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah di zon Utara.

Di Zon Selangor pula, ia melibatkan empat penjara iaitu Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.