KUALA LUMPUR, 11 JAN : Kerajaan memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa daerah dan kawasan di Perak, Kelantan dan Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu, Kelantan yang dijadualkan tamat pada 11 Januari ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 152 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 78 kes positif COVID-19 telah direkodkan. KKM mengesahkan baki kes aktif di madrasah ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu, Kelantan pada hari ini, 11 Januari seperti yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri juga berkata PKPD di Kampung Paginatan dan kampung Maringkan, Ranau, Sabah juga ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 424 ujian saringan di Kg. Paginatan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif COVID-19 telah direkodkan manakala di Kg. Maringkan, 166 ujian saringan telah dilaksanakan dan secara kumulatif merekodkan sebanyak 23 kes positif COVID-19.

“Bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kg. Paginatan dan Kg. Maringkan, Ranau pada hari ini, 11 Januari seperti yang dijadualkan,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau juga berkata kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) beserta Kuarters pada 12 Januari ini seperti yang dijadualkan, kecuali bagi blok penempatan OKT di Pusat Transit Penerimaan (PTP).

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 670 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 55 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Bagaimanapun, terdapat 356 baki sampel saringan masih menunggu keputusan yang melibatkan tahanan di PTP dan tidak melibatkan tahanan lama di blok penempatan serta kuarters kakitangan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di KEMTA beserta Kuarters pada 12 Januari seperti yang dijadualkan kecuali bagi blok penempatan OKT di PTP yang melibatkan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) yang mana blok-blok penempatan ini dilanjutkan PKPD mulai 13 sehingga 26 Januari ini,” katanya. -AWANI