KOTA BHARU: Seramai 20 pengusaha bas di Kelantan, memohon kerajaan memberi kelonggaran tiada penjarakan sosial dalam bas ekspres bagi mengelak lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung mereka.

Sebelum ini, setiap bas boleh membawa 48 penumpang, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kerajaan menetapkan hanya boleh membawa 50 peratus penumpang iaitu 24 penumpang sahaja.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Kelantan, Che Ibrahim Che Ismail, berkata jika keadaan itu berlarutan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Ogos ini, sudah tentu ramai yang pengusaha bas terpaksa gulung tikar.

“Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sudah tentu menggembirakan semua apabila rakyat sudah dibenarkan rentas negeri dan bercuti.

“Namun keadaan kami pengusaha bas yang sudah tiga bulan menderita sepanjang PKP kini masih dilema sekiranya penjarakan sosial perlu dilakukan dengan hanya membawa 50 peratus penumpang.

“Justeru, kami memohon kerajaan mempertimbangkan keadaan ini kerana bas agak luas dan penumpang juga tidak bersentuhan walaupun muatan bas penuh. Pada masa sama, kami mengikut prosedur operasi standard (SOP) lain seperti mengambil data, check suhu, memakai pelitup muka dan melakukansanitasi bas,” katanya ketika dihubungi.

Che Ibrahim yang juga Pengerusi Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), berkata sudah tiga bulan pengusaha bas menderita berikutan bas tidak bergerak, selain tiada penumpang menyebabkan mereka bimbang lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung selepas ini.

Katanya, keadaan sama juga dialami penguasa bas persiaran sekiranya jumlah penumpang dihadkan, maka tiada pelancong yang sanggup menyewa bas.

“Sejak pengumuman semalam, sambutan diterima amat menggalakkan apabila ramai yang membeli tiket dan setakat ini lima bas sudah penuh dengan hanya mengehadkan 50 peratus penumpang.

“Saya berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada kami supaya tidak terus menanggung kerugian lebih besar. SOP lain pihak kami akan terus pertingkatkan,” katanya.