KUALA LUMPUR: Premis sukan kini dibenarkan beroperasi hingga jam 2 pagi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat khas selepas menerima banyak permintaan daripada pengusaha terbabit.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka, dibenarkan beroperasi hingga jam 2 pagi. Justeru, mesyuarat khas pada hari ini juga bersetuju membenarkan premis sukan beroperasi hingga jam 2 pagi.

“Operator perniagaan berkaitan sukan, misalnya futsal ketika ini, perlu menghentikan operasi pada jam 12 tengah malam.

“Namun, mereka membuat aduan kerana kebanyakan pengunjung akan datang ke premis berkenaan selepas waktu maghrib. Justeru atas dasar itu, mesyuarat bersetuju untuk membenarkan mereka beroperasi hingga jam 2 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.