KUANTAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan mengosongkan kerusi Parlimen untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata walaupun peratusan keluar mengundi pada tiga pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sangat rendah, namun ia tidak menggambarkan mood semasa rakyat secara keseluruhan.

“Memang kalau kita tengok peratusan (keluar mengundi) pada PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, ia sangat rendah dan mungkin ada kesan jika diadakan satu lagi (PRK).

“Namun, ia adalah keputusan yang dipersetujui semua, termasuk Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penyandang kerusi Parlimen berkenaan…perancangan (mengosongkan kerusi Parlimen) ini dibuat sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia sudah diketahui individu terbabit.

“Walaupun kita nampak mood rakyat ketika ini tidak seperti PRU-14 lalu, PKR ada alasan untuk mempercepatkan proses (pengosongan kerusi Parlimen) dan antara faktor yang paling utama ialah keputusan ini dilakukan bagi memastikan proses reformasi institusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis #Reformasi20Tahun di Kompleks Dagangan Mahkota, dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chun.

Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis ialah 50.31 peratus, manakala pada PRK DUN Seri Setia pula 44.1 peratus dan PRK DUN Balakong pula hanya 43 peratus, peratusan paling rendah direkodkan bagi PRK.

Rafizi berkata, pengumuman mengenai kerusi Parlimen yang bakal dikosongkan akan dibuat minggu ini dan semua pihak diminta bersabar – berita harian