IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mahu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menarik balik keputusan tidak membekalkan senarai Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) dalam bentuk `softcopy’ atau cakera padat, kepada parti-parti politik seperti yang pernah dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke – 13.

Bagaimanapun, mereka mengakui bahawa SPR tidak melanggar peraturan apabila mempamerkan RDPT suku tahun 1/2017 selama 14 hari, seperti yang ditetapkan oleh Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

e858e65d-ab9b-4327-bb35-82c9376a329ePengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nor Manuty berkata, jika dipamerkan begitu sahaja, ia akan menyusahkan kerana orang tidak berminat untuk melihat pameran seumpama itu.

“Jadi dipamerkan begitu, mengusahkan orang, orang tak minat untuk menengok pameran-pameran dalam bentuk nak membaca, macam di negara-negara komunis, nak baca panjang-panjang, orang dah tidak minat,” katanya dalam sidang media di luar pejabar SPR Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama beberapa pemimpin PKR Perak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan ADUN Hutan Melintang S. Kesavan.

Sebagai tanda bantahan, kumpulan tersebut membawa mesin fotostat dan generator di samping membawa kain rentang yang tertulis perkataan SPR Penipu.

Dr Muhammad Nor berkata, sesuai dengan zaman digital sekarang, SPR sepatutnya lebih canggih dan moden.

Sementara itu, Kar Hing pula berkata, berdasarkan maklumat yang diterima SPR akan mempamerkan RDPT itu mulai 9 Mei – 22 Mei di 960 tempat pamerkan di seluruh negara.

“Maknanya setiap parlimen itu mungkin tiga atau empat tempat sahaja yang akan dipamerkan. Bermakna satu Parlimen, kalau bawah dia ada tiga DUN, bermakna dalam DUN ada satu sajalah,” ujarnya.