IPOH: PKR Perak mencadangkan supaya kaedah manual digunakan semula di dalam pemilihan kepimpinan parti itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty berkata, kaedah manual itu perlu kerana masih ramai ahli yang belum celik IT.

Tambahan pula, kata beliau, ia adalah sebagai alternatif kerana tempoh pemilihan semula tidak boleh ditunda lebih lama.

“Saya selaku Pengerusi Keadilan Negeri Perak faham penangguhan ini akan memberi banyak kesan kepada calon-calon yang telahpun bekerja keras sepanjang tenpih berkempen yang mengambil masa lebih dari satu bulan,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, malam ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum dan akur dengan arahan yang diterima mengenai penangguhan pemilihan parti peringkat negeri Perak, walaupun mereka telah membuat persiapan rapi.

“Pimpinan mengambil maklum soal persediaan yang telah dibuat oleh bakal-bakal calon yang bertanding.

“Namun saya kira, langkah penangguhan ini wajar diterima oleh setiap anggota memandangkan kita tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini berulang,” ujarnya.

Beliau berharap agar Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengambil sikap bertanggungjawab bagi memastikan tiada lagi unsur-unsur tidak diingini, demi menjaga nama baik parti di kalangan rakan-rakan parti dan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Nur memberitahu, pihaknya akan meletakkan wakil di setiap pusat mengundi di semua 24 cabang parti itu bagi memaklumkan kepada ahli mengenai penangguhan tersebut.