IPOH ; Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menggesa mana-mana ahli dan pemimpin yang keluar parti itu menunjukkan bukti keahlian bagi memudahkan tindakan diambil.

Setiausahanya, Mohd Azlan Helmi berkata, pada dasarnya, parti tidak ada halangan untuk mereka keluar dan membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini hanya antara 10 hingga 15 individu sahaja yang dikenalpasti, yang hadir pada sidang media yang beramai-ramai, Isnin lalu.

“Berdasarkan gambar, kita kenal pasti dalam 10 hingga 15 orang sahaja dan yang lain kita tak pernah nampak. Kita hanya lakukan tindakan berdasarkan gambar yang ada.

“Saya nak mohon kepada pihak yang nak keluar parti seharusnya membekalkan senarai nama dan juga nombor keanggotaan keahlian.

“Kalau tak ada kedua-dua maklumat ini sesiapa sahaja boleh berdiri di belakang logo PKR dan mengaku ahli PKR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat PKR Perak di sini hari ini.

Hadir sama Naib Pengerusi PKR Perak, Mohd Anuar Zakaria; Bendahari PKR Perak, Muzaffar Shah Khairuddin dan Ketua Penerangan PKR Perak, Raja Azam Shah Raja Omar Ikram.

Mohd Azlan berkata, nama-nama ahli dan pemimpin PKR Perak yang keluar parti dihantar ke ibu pejabat parti untuk diambil tindakan.

Menurutnya, sehingga kini tiada seorang ketua cabang PKR di Perak yang keluar parti, sebaliknya 24 ketua cabang di negeri ini kekal bersama menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 2 Mac lalu, kira-kira 400 ahli PKR daripada 24 cabang di Perak mengumumkan keluar parti hari ini.

Wakil ahli tersebut, Id Azalan Shah Banyamin memberi empat sebab mereka keluar parti, termasuk membantah pemecatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin daripada parti itu.