IPOH, 3 Dis- Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Perak menegaskan pendirian mereka untuk sebulat suara menolak usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Naib Pengerusinya, Tan Kar Hing berkata tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu dari Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Manaf Hashim membawa usul itu juga disifatkan sebagai ada maksud tersirat.

Tan yang juga ADUN Simpang Pulai berkata usul yang dibawa oleh ADUN dari pihak kerajaan itu juga tidak melibatkan perbincangan daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kita lihat usul ini mempunyai beberapa maksud tersirat sama ada ia mahu menyatakan sokongan ataupun taat kesetiaan kepada Menteri Besar mahu pun sebaliknya.

“Itu kena kita tanyakan kepada ADUN yang failkan usul itu, sehingga kini kalau tanya kepada Keadilan natural position untuk kami sebagai pembangkang di negeri Perak ialah untuk menolak usul itu.

“Kita tidak akan memberikan sokongan undi percaya kepada YAB Menteri Besar, itu adalah keputusan kami jika usul itu dibahaskan dan dimuktamadkan dalam Dewan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat PKR di sini pada Khamis.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi PKR negeri Perak, Mohd Anuar Zakaria.

Ujarnya lagi, terdapat banyak kemungkinan yang akan berlaku pada Persidangan DUN itu nanti.

“Sama ada dia nak tarik balik usul itu…macam-macam mungkin berlaku tapi setakat ini kami dari PKR berpegang kepada keputusan yang sama iaitu menolak usul itu,”katanya.

Dalam perkembangan berlainan, ketika ditanya berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik, Mohd Anuar berkata pihaknya masih menunggu keputusan di peringkat Pusat sama ada PKR bertanding atau sebaliknya.

“Setakat ini kami belum bincangkan isu ini (PRK Gerik). Perbincangan sebelum ini lebih kepada isu belanjawan untuk Persidangan DUN Perak,”katanya.

Terdahulu pada sidang media itu, Mohd Anuar mengemukakan 15 tuntutan yang harus diberi perhatian oleh kerajaan negeri untuk dibentangkan dalam belanjawan negeri esok.

“Tuntutan ini merangkumi aspek kesihatan, ekonomi, wanita dan golongan belia bagi memastikan rakyat negeri berada dalam keadaan tenang dan melegakan” katanya.